Tuesday, December 9, 2008

..Puasa dan Ramadhan..

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum wbt..

Ramadhan merupakan bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pembebasan daripada api neraka seperti hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi Radiyallahuanhu ;

"Dialah satu bulan awalnya ada rahmat pertengahanya ada keampunan dan penutupnya ada pelepasan dari api neraka”

Puasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga sepertimana sabda Nabi SAW,mafhumnya

"Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga."

Mungkin pada zahirnya kita dilihat sebagai orang yang berpuasa tetapi di sisi Allah, puasa kita tidak dipandang dan dinilai oleh Allah SWT sedangkan pahala bagi orang yang berpuasa dibalas sendiri oleh Allah kerana tidak terhingga hitungannya.

Sesungguhnya puasa itu bagi aku dan aku akan membalasnya”

Hikmah daripada puasa itu untuk menjadikan kita sebagai hamba yang bertaqwa. Seperti firman Allah Ta'ala :

"Difardhukan puasa ke atas kamu sepertimana difardhukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa."

Taqwa bermaksud menuruti segala perintah Allah Ta'ala dan meninggalkan segala larangan-Nya imma kita suka atau tidak waimma kita merasa susah atau senang maka kita wajib melaksanakan segala kewajipan yang difardhukan ke atas kita dan meninggalkan segala larangan yang ditegah walaupun kita merasakan perkara itu kecil pada nilaian kacamata kita.

Ibnu Mas'ud Radiyallahu 'anhuma menyatakan ada 4 syarat untuk dikira sebagai muttaqun;

  1. Takut kepada Allah.

  2. Taat kepada Allah.

  3. Sentiasa mengingati Allah.

  4. Menjadi 'abdan syakura (hamba yang bersyukur)


Ramadhan hanya datang sekali setahun. Apakah masih ada peluang untuk kita pada tahu hadapan? Tidak ada sesiapa pun yang dapat mengetahui apakah dia akan menemui Ramadhan pada tahun hadapan. Jadi, ayuh! Rebutlah peluang yang ada di hadapan kita sekarang semoga kita tidak tergolong dari orang-orang yang rugi.

0 comments: